6 JANUARI 2026 | SELASA
PERJUMPAAN YANG DIPERTUA MPPn BERSAMA KAKITANGAN PROGRAM PENINGKATAN KERJAYA MELALUI PENEMPATAN SILANG (PCF) SIRI 3 SERTA MAJLIS MENANDATANGANI AKU JANJI KAKITANGAN BAHARU MAJLIS PERBANDARAN PONTIAN
Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) telah mengadakan sesi perjumpaan bersama pegawai-pegawai yang terlibat dalam Program Peningkatan Kerjaya Melalui Penempatan Silang (Cross Fertilization Program – PCF) Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor Siri 3, serta pegawai-pegawai lantikan baharu bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian, Encik Abdul Azim bin Haji Shamsuddin.
Dalam sesi tersebut, Yang Dipertua telah menyampaikan amanat agar sentiasa mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi, memperkukuh kerjasama merentas jabatan serta memupuk budaya kerja berpasukan yang kukuh. Penekanan turut diberikan kepada keperluan meningkatkan integriti, kecekapan serta akauntabiliti dalam melaksanakan tugas seiring dengan aspirasi jabatan untuk menyampaikan perkhidmatan perbandaran yang cekap, berkesan dan berimpak tinggi kepada masyarakat.
Majlis ini turut diserikan dengan Majlis Menandatangani Aku Janji sebagai simbol komitmen dan iltizam untuk mematuhi etika perkhidmatan awam serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan integriti.
Sejajar dengan agenda dan hala tuju Kerajaan Negeri Johor, Majlis Perbandaran Pontian komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik melalui pendekatan kolaboratif, pengembangan kompetensi, perkongsian kepakaran serta integrasi pengalaman dan pengetahuan. Pendekatan ini mampu mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan dan kemakmuran komuniti setempat.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Puan Nurul Farahdila binti Jaafar, Setiausaha MPPn dan barisan urusetia dari Jabatan Khidmat Pengurusan.

Pontian Mounicipal Council