MENU

PONTIAN, 16 Disember 2014 - Golongan nelayan kelas B di daerah ini diingatkan supaya tidak melepasi garisan sempadan perairan nelayan bagi mengelak risiko ditangkap pihak berkuasa negara asing.

Ketua Penguatkuasaan Maritim daerah Johor Bahru, Kapten Maritim Aminuddin Abd Rashid berkata, mereka perlu mematuhi arahan penunjuk arah yang diberikan melalui peralatan GPS dipasang di bot.

“Terdapat batu penanda diletakkan kira-kira dua batu nautika di kawasan perairan daripada kawasan terletaknya garis sempadan perairan negara.

“Justeru, nelayan perlu peka meskipun garisan sempadan perairan sukar ditentukan kerana berdepan masalah arus air,” katanya selepas merasmikan Program Sahabat Maritim Bersama Komuniti Nelayan Kampung Sungai Rambah Pontian Johor, baru baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Logistik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Muda Maritim Datuk Che Hassan Jusoh.

Sebanyak RM12,000 disumbangkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi penganjuran program terbabit termasuk membaiki jeti dan sumbangan kepada ibu tunggal dan barang persekolahan untuk anak-anak.

Sementara itu, Ketua Nelayan Jeti Pengkalan Sungai Rambah Mohammad Marto, 65, berkata, pihaknya bersyukur kerana kemudahan jeti yang roboh sejak lima bulan lalu, akhirnya dibaiki.

Katanya, gotong-royong diadakan penduduk kampung bersama anggota APMM membuktikan APMM peka dengan keperluan nelayan.

“Jeti digunakan kira-ira 70 nelayan ini dalam keadaan usang, namun dengan bantuan dihulurkan ia memberi makna besar kepada kami golongan nelayan di sini.

“Malah sebuah wakaf tempat berehat turut disediakan. Dengan bantuan diterima nelayan ia membantu mengurangkan beban ditanggung memandangkan golongan nelayan mempunyai pendapatan tidak menentu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian