MENU

PONTIAN, 17 Disember 2014 – Penduduk di sekitar Batu 31, Pekan Nenas di sini, memohon pihak bertanggungjawab supaya menyediakan lampu jalan bagi mengelak risiko mereka terdedah dengan kemalangan jalan raya.

            Penduduk, Tahar Mohd Ali berkata, terdapat kira-kira 100 penduduk tinggal di beberapa kampung di sekitar Batu 31.

            Menurutnya, walaupun keadaan jalan agak luas dan selesa, pemandu dari kedua-dua lorong kerap memandu laju dan tidak menyedari kewujudan selekoh di laluan tersebut.

            “Kemalangan kerap di laluan ini berikutan keadaan yang gelap dan berselekoh. Kita harap, lampu jalan dapat diletakkan supaya pemandu dapat memperlahankan kenderaan bagi mengelakkan kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian.

            Tambahnya, lampu jalan dilihat sebagai keperluan dan juga menjadi penyebab kepada kes kemalangan jalan raya di kawasan tersebut.

            Tahar berkata, penduduk sudah tidak larat berdepan kes kemalangan maut yang boleh dikurangkan jika kawasan tersebut diterangi cahaya lampu pada malam bagi memudahkan pengguna jalan raya.

            “Lampu jalan bukan sahaja dapat mengurangkan kes kemalangan, tetapi pada masa sama menceriakan kawasan kampung yang terletak di laluan utama Pontian ke Johor pada waktu malam,”.

 

Sumber: Sinar Harian