Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera, Salam Maju Johor dan Salam Pontian Di Hatiku,
Alhamdulillah, dengan penuh kesyukuran kepada Allah S.W.T atas segala limpah dan rahmatNya, kita telah berjaya mengharungi perjalanan sepanjang tahun 2025 dengan penuh dedikasi, ketabahan dan semangat kerjasama. Sepanjang tahun ini, Majlis Perbandaran Pontian komited dalam mempertingkatkan perkhidmatan, memperkukuh tadbir urus dan menjayakan program-program pembangunan demi manfaat seluruh warga Pontian.
Tahun 2025 merupakan tahun yang penuh warna warni dengan pelbagai cabaran dan pencapaian. MPPn juga telah mencatatkan pelbagai usaha dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk, perancangan bandar yang lebih teratur serta kerjasama strategik bersama komuniti dan sektor swasta selaras dengan visi dan misi MPPn untuk mewujudkan pentadbiran yang cekap, perancangan yang teratur dan persekitaran yang mampan demi kesejahteraan semua penduduk daerah Pontian.
Usaha-usaha yang telah kita laksanakan ini adalah selari dengan aspirasi Maju Johor 2030 yang bukan sekadar sebuah slogan, tetapi ianya sebuah komitmen untuk memperkukuh kemajuan dengan menekankan digitalisasi, inovasi, kemampanan dan kesejahteraan sejagat kepada semua lapisan masyarakat. Sebagai contoh, bandar Pontian telah diiktiraf sebagai salah sebuah Bandar Paling Bahagia Tahun 2025 dan MPPn juga telah mendapat pengiktirafan sebagai Smart City Early Adopter bagi penarafan Bandar Pintar Tahun 2025.
Sempena Tahun Baharu 2026, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh warga kerja Majlis Perbandaran Pontian, masyarakat Pontian, rakan-rakan komuniti, pemimpin tempatan serta semua pihak berkepentingan. Semoga tahun ini membawa sinar harapan, keberkatan,kesihatan dan kejayaan kepada kita semua.
Tahun 2026 membuka lembaran baharu penuh peluang. Saya menyeru agar kita terus berganding bahu menanam semangat inovasi, profesionalisme serta semangat “Maju Johor” dalam setiap perancangan dan tindakan kita. Marilah kita memperkukuh kecemerlangan perkhidmatan kepada masyarakat, meningkatkan kesejahteraan komuniti dan terus menyokong dasar pembangunan negeri Johor demi kesejahteraan generasi akan datang.
Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan, komitmen dan kerjasama sepanjang tahun 2025. Semoga segala usaha kita diberkati oleh Allah S.W.T dan dipermudahkan dalam membawa Majlis Perbandaran Pontian ke peringkat yang lebih cemerlang.
Salam Tahun Baharu 2026
Yang Dipertua
Majlis Perbandaran Pontian

